Friday, February 18, 2011

SEMANGAT KEAGAMAAN DI KALANGAN WANITA: Tasbih Fatimah r.anha

Hazrat 'Ali r.anhu berkata kepada salah seorang muridnya, "Mahukah saya ceritakan kisah saya dengan Fatimah r.anha iaitu puteri Rasulullah s.a.w. yang paling disayangi?"

Murid itu menjawab, "Sudah pasti."

Beliau pun berkata, "Fatimah r.anha biasanya menggunakan tangannya untuk mengisar bijian yang menyebabkan tangannya menjadi kasar. Beliau juga mengisi air ke dalam bekas yang dibuat daripada kulit dan membawa bekas itu ke rumah sehingga meniggalkan kesan di dadanya akibat daripada tali bekas tersebut. Beliau sendiri menguruskan rumahnya, menyapu dan sebagainya sehingga menyebabkan pakaiannya selalu kotor. Pada suatu ketika beberapa orang hamba perempuan telah dibawa kepada Rasulullah s.a.w. Saya pun menyuruh Fatimah r.anha, "Kamu pergilah kepada Rasulullah s.a.w.dan minta seorang pembantu agar kamu mendapat bantuan daripadanya."

Beliau kemudian pergi berjumpa Rasulullah s.a.w.tetapi beliau mendapati ramai orang berada di situ. Beliau ialah seorang yang sangat pemalu. Lantaran sifat pemalunya, beliau tidak mahu meminta kepada bapanya di hadapan orang ramai walaupun itu nerupakan bapanya sendiri, maka beliau pun pulang.

Pada keesokan harinya, Rasulullah s.a.w. datang sendiri dan bersabda, "Fatimah, untuk tujuan apakah engkau pergi ke sana?"

Oleh kerana perasaan malu, beliau mendiamkan diri sahaja. Saya (Hazrat Ali r.anhu) pun berkata, "Ya Rasulullah, kesan daripada batu pengisar, tangannya menjadi kasar. Kesan daripada tali bekas air, dadanya telah berparut. Sementara urusan rumahtangga yang lain menyebabkan pakaiannya selalu dalam keadaan kotor. Kelmarin saya memberitahunya mengenai hamba-hamba yang telah sampai kepada tuan , supaya dia pun dapat meminta seorang hamba. Oleh kerana itulah dia telah pergi kepada tuan."

Dalam sesetengah riwayat yang lain Hazrat Fatimah r.anha memberitahu, " Ya Rasulullah s.a.w., saya dan 'Ali hanya mempunyai satu alas tidur, itu pun daripada kulit domba. Pada malam hari kami bentangkan alas itu dan kami tidur di atasnya dan pada waktu siang kami tabur rumput dan bijian di atasnya untuk memberi makan unta."

Rasulullah s.a.w. bersabda, " Wahai anakku, bersabarlah. Nabi Musa a.s. dan isterinya memiliki hanya satu alas tidur sahaja sehingga sepuluh tahun. Itupun hanya jubah Nabi Musa a.s. Itulah yang dibentang dan mereka tidur di atasnya. Takutlah kepada ALLAH s.w.t. hasilkanlah sifat takwa dan tunaikanlah tugas dan kewajipanmu terhadap Allah s.w.t. dan sempurnakanlah tugas-tugas rumahtanggamu. Apabila kamu hendak tidur maka bacalah SUBHANALLAH tiga puluh kali, ALHAMDULILLAH tiga puluh kali dan ALLAHUAKBAR tiga puluh empat kali. Amalan ini lebih baik bagi kamu daripada hamba."

Hazrat Fatimah r.anha pun berkata, "Saya reda dengan Allah s.w.t. dan rasulNya." (Abu Daud)

No comments:

Post a Comment