Sunday, February 28, 2010

WANITA PEMBENTUK GENERASI AHLI SYURGA

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan ramadhan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka dia dijemput di akhirat supaya masuk syurga mengikut pintu mana yang dia suka (mengikut pilihannya)" Riwayat Ahmad.

Begitulah besarnya pahala bagi wanita yang berkahwin. Tidak perlu bersusah-payah untuk keluar rumah seperti kaum lelaki. Hanya dengan duduk di rumah sebagai seorang isteri dan ibu sudah memperolehi pahala yang banyak. Kalau suami redha dengan perlakuan seorang isteri itu maka akan terus masuk syurga tanpa melalui kesukaran. Nikmat ini tidak akan dapat diperolehi oleh wanita yang menolak perkahwinan kerana dia telah menolak untuk menjadi calon wanita solehah yang berada di bawah naungan suami.

Mentaati perintah suami melibatkan soal pendidikan anak-anak. Maka segala yang bersangkutan dengan perkara itu harus diberi perhatian. Hal seperti menjaga kesihatan diri dan anak-anak, menjaga keperluan anak-anak dan menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak. Maka segala perkembangan mengenainya perlu diberi perhatian serius.

Jika semua itu dapat dilakukan oleh semua kaum ibu maka akan terjadilah seperti kata pepatah Melayu "Tangan yang mengayun buaian itu boleh menggoncangkan dunia". Daripada mereka itulah lahir anak bangsa yang merdeka dan berakhlak mulia serta bertanggungjawab. Tidak akan lahir tokoh-tokoh yang hebat di dunia ini jika bukan kerana kasih seorang wanita pada anaknya.

Peranan yang besar ini wajib dilaksanakan oleh kaum wanita dengan bersungguh-sungguh. DI tangan merekalah penentu generasi masa depan sama ada bakal menjadi warga yang berjiwa Islam atau sebaliknya. Atas tanggungjawab itulah mereka layak mendapat jaminan syurga tanpa hisab dan bebas masuk syurga di mana-mana pintu yang mereka sukai seperti yang tersebut dalam hadis di atas.

Begitulah kemuliaan dan penghormatan yang Allah berikan kepada kaum wanita yang amanah, berjaya menunaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada anak-anaknya. Jika setiap kaum wanita berjaya membentuk individu yang beriman, maka sudah tentu suasana masyarakat juga akan terbentuk sebagai masyarakat Islam yang harmoni dan mentaati perintah Allah.

No comments:

Post a Comment