3. ISTIQAMAH MEMBACA AL-QUR'AN DAN ZIKIR
Al-Qur'an: Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda; "Tetaplah membaca Al-Qur'an kerana Al-Qur'an adalah nur untuk kehidupan ini dan bekalan untuk hari akhirat". Al-Qur'an merupakan teman di dalam kubur dan juga pemberi syafaat di akhirat. Kita hendaklah sedaya upaya cuba istiqamah membaca Al-Qur'an setiap hari sebab Al-Qur'an akan menuntut haknya di akhirat nanti, yang mana hak Al-Qur'an hendaklah khatam 2 kali dalam setahun. Jadi tiap-tiap hari kita lapangkan masa untuk membaca Al-Qur'an, sekurang-kurangnya satu juzuk setiap hari dan kalau tidak dapat, satu 'ain atau setengah 'ain.
Kita juga hendaklah membaca surah-surah di mana Rasullulah s.a.w. tidak lupa membacanya tiap-tiap hari antaranya Surah Yasin umpama kita khatam Al-Quran 10 kali, Surah Al-Waqiah menjauhkan daripada kepapaan, Surah As-Sajdah dan Surah Al-Mulk (Taba) menjauhkan dari siksa kubur, Surah AL-Kahfi pada hari jumaat maka Nur akan bersama kita sehingga jumaat yang akan datang. Kita hendaklah mengajar anak-anak kita supaya membiasakan diri mereka dengan membaca Al-Qur'an setiap hari. Kita jadikanlah sekurang-kurangnya salah seorang dari anak-anak kita di kalangan para Hafiz Al-Qur'an.
Zikir : Berzikir iaitu mengingati Allah s.w.t. dalam setiap keadaan dan ketika. Kita hendaklah berzikir sebanyak-banyak yang kita boleh sehingga kita dapat merasa yang diri kita ini hampir pada Allah s.w.t. Sehingga kita terasa yang Allah s.w.t. melihat kita pada setiap waktu dan ketika. Kita hendaklah istiqamah dengan zikir iaitu 300 kali pagi dan 300 kali petang, iaitu selepas Subuh dan Asar. Sayang pada Allah dan untuk mendekatkan diri padaNya maka zikirlah 100 kali pagi dan 100 kali petang ~ Subhanallahu walhamdulillahi wala ilaha illallahu wallahu Akbar, wala haula wala quwwata illa billahil 'Aliyyil 'Azim ~ di mana sekali diucapkan Allah akan tumbuhkan satu pohon di syurga di mana pohon itu mengeluarkan 70 jenis buah-buahan dan hasilnya akan diperolehi di akhirat kelak.
Sebagai umat Rasullulah s.a.w. dan tanda kasihnya kita pada Baginda maka hendaklah berselawat 100 kali pagi dan 100 kali petang di mana satu selawat Allah s.w.t. akan ampunkan 10 dosa, diangkatkan 10 darjat dan diberikan 10 kebaikan. Sayangkan diri kita maka hendaklah kita beristighfar memohon ampun dari Allah s.w.t. sebanyak 100 kali pagi dan 100 kali petang. Kelebihannya Allah akan ampunkan dosa kita sebanyak buih di lautan. Juga jangan ditinggalkan Zikir Fatimah tiap-tiap lepas solat dan sebelum tidur. Juga amalkan doa-doa masnun.
4. MENDIDIK ANAK SECARA AGAMA DAN SUNNAH
Mendidik anak secara agam dan sunnah Rasulullah s.a.w. adalah kewajipan kedua ibu bapa terutama sekali diri kita kaum ibu yang sentiasa ada di rumah untuk mengawasi anak-anak. Jika kita dapat wujudkan suasana madrasah dalam rumahtangga kita iaitu suasana iman dan amal, maka dengan sendirinya anak-anak akan mendapat didikan agama yang lebih sempurna. DIkatakan madrasah pertama bagi anak-anak kita adalah di atas riba ibu-ibu. Kita adalah contoh yang akan mencorakkan kehidupan mereka. Jadi kita sebagai ibubapa perlulah mendekatkan anak-anak kita dengan kisah-kisah Rasulullah s.a.w. dan para Sahabat supaya kisah-kisah itu dapat membentuk akhlak dan peribadi anak-anak kita. Kita juga perlu mengawasi pergaulan mereka, akhlak mereka, pakaian dan makan minum mereka, Ajarlah supaya mereka yakin kepada Allah s.w.t. dan hendaklah kita ajar doa-doa masnun dan juga sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w. dalam setiap perbuatan mereka seharian. Pesanan Rasulullah s.a.w. "Didiklah anak-anakmu dengan tiga perkara iaitu cinta pada Nabi mereka, cinta pada ahli keluarga dan bacalah Al-Qur'an". Berdoalah untuk anak-anak kita supaya Allah s.w.t. jadikan mereka anak-anak yang soleh di kalangan para huffaz dan da'ie ilallah.
No comments:
Post a Comment