Friday, February 26, 2010

6 PESANAN UNTUK WANITA (Bhgn 2)

1. SOLAT DI AWAL WAKTU DAN GALAKKAN KAUM MUHRAM SOLAT DI TEMPAT DI MANA AZAN DILAUNGKAN
Kita hendaklah solat di awal waktu. Sebagai kaum wanita sebaik-baik tempat adalah di rumah dan di rumah pula seeloknya di dalam bilik. Walaupun kerja rumah kita banyak tetapi hendaklah kita cuba sedaya upaya kita untuk solat di awal waktu. Jadi hendaklah kita aturkan tugas kita di rumah mengikut waktu solat supaya kita dapat bereskan kerja kita sebelum masuk waktu solat. Jika kita dapat mengerjakan solat di awal waktu, ganjarannya begitu besar sekali. Di katakan jika berwudhu dan tunggu azan untuk solat maka di akhirat nanti Allah swt akan bangkitkan kita dengan muka yang bercahaya seperti cahaya matahari. Jika kita berwudhu ketika azan sedang dilaungkan maka kita akan dibangkitkan dengan muka bercahaya seperti bulan purnama dan jika kita berwudhu selepas azan dilaungkan maka kita akan dibangkitkan dengan muka bercahaya seperti bintang.
Solat juga akan menyerikan muka kita dengan Nur Taqwa pada wajah kita. Allah swt telah berjanji akan mengurniakan 5 ganjaran pada orang yang menjaga solatnya dengan sempurna. Kita juga sebagai wanita, kaum ibu dan isteri hendaklah menggalakkan kaum muhram kita solat berjamaah di masjid atau surau. Mafhum Hadith; Rasulullah s.a.w. bersabda; Jika tidak kerana kaum wanita dan kanak-kanak di dalam rumah itu nescaya aku bakar rumah-rumah di mana penghuni lelaki tidak pergi solat berjamaah di masjid. Jika suami kita pergi solat berjamaah di masjid dengan istiqamah, maka kita di rumah juga akan mendapat pahala solat berjmaah 27 kali. Oleh itu kita azamlah supaya kita dapat solat di awal waktu dan juga menggalakkan muhram kita solat di masjid.

2. ISTIQAMAH MENGHIDUPKAN TA'LIM DAN TA'ALLUM
Kita hendaklah menghidupkan suasana belajar dan mengajar agama di dalam rumah kita. Dengan itu suasana agama akan terbentuk, keberkatan akan datang dan penyakit rumah tangga akan hilang. Bacalah Al-Quran, kitab-kitab hadith atau kitab Fadha'il A'mal (karangan Sheikhul Hadith Maulana Zakariyya r.h.) kerana setiap ayat atau hadits yang dibaca ada Nur dan keberkatannya. Pada majlis itu juga kita boleh bermuzakarah dan bersoaljawab hal-hal agama dengan kaum keluarga kita supaya dapat memahami sunnah Nabi s.a.w dan tidak sesat. Untuk mendapatkan kesan dan manfaat dari ta'alim ini maka hendaklah dilakukan dengan istiqamah dan kasih sayang. Mesyuarat dengan suami dan anak-anak pada masa yang sesuai supaya demua rasa bertanggungjawab menghidupkan majlis ilmu tersebut.
Kalau boleh hadkan masa sekurang-kurangnya 15 minit hingga setengah jam. Hendaklah kita tetpkan masa dan tempat, lakukan dengan istiqamah dan kasih sayang kerana ini  akan mendatangkan kesan kepada diri kita. Dengan adanya ta'lim atau majlis ilmu ini tiap-tiap hari akan melembutkan hati-hati kita kerana Nur Quran dan hadith telah masuk dan dengan mudah untuk kita mengamalkan agama. Banyak sekali kelebihan jika kita adakan majlis ta'lim ini. Rumah-rumah kita akan bercahaya seperti bintang-bintang, syaitan-syaitan akan keluar dan para malaikat akan masuk dan rumah-rumah kita juga akan jadi sumber hidayat untuk jiran-jiran kita. Allah s.w.t. akan turunkan rahmat, keberktan, ketengan jiwa dan ketenteraman dalam rumahtangga InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment