PEMBELAAN ZAINAB R.A. MENGENAI TUDUHAN BOHONG TERHADAP AISYAH R.A.
Ummul mukminin, Zainab binti Jahsy r.a. masih mempunyai hubungan keluarga dengan Rasulullah saw. Ketika Islam mula berkembang, Zainab sudah memeluk Islam. Pada mulanya dia menikah dengan Zaid r.a., iaitu seorang hanba sahaya yang telah dimerdekakan oleh Rasulullah saw. Selain itu, Zaid r.a. juga merupakan orang kesayangan Rasulullah saw. dan sudah dianggap seperti anak beliau sendiri. Oleh kerana itu, Zaid r.a. pernah disebut dengan panggilan Zaid bin Muhammad saw.
Setelah sekian lama menikah dengan Zainab r.a., Zaid r.a. merasa tidak dapat meneruskan perkahwinannya itu, akhirnya diceraikanlah Zainab r.a. Pada saat itu, Rasulullah saw. ingin menghapuskan adat Jahiliyah yang menganggap anak angkat sama dengan anak sendiri sehingga tidak boleh menikah dengan bekas isteri anak angkatnya itu. Oleh sebab itu, Rasulullah saw. segera mengajukan lamaran kepada Zainab r.a. Kemudian Zainab r.a. berkata, "Saya akan bermusyawarah dahulu kepada Tuhan saya". Maka Zainab r.a. segera berwudhu dan melaksanakan solat dua rakaat. Dari kejadian tersebut menghasilkan suatu keberkahan sehingga Allah sendiri yang menikahkan Rasulullah saw dengan Zainab r.a. dengan turunnya ayat berikut ini:
" Maka apabila Zaid telah menyelesaikan keperluannya, aku nikahkan kamu dengannya agar tidak ada kesulitan bagi orang-orang mukmin untuk menikahi (bekas) isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak itu telah menyelesaikan keperluannya. Dan hukum Allah tetap berlaku." (Qs Al Ahzab ayat 37)
Ketika ayat ini turun, maka Zainab r.a. telah diberi khabar gembira tentang pernikahannya, setelah itu Zainab r.a. segera melepaskan perhiasan yang sedang dipakainya dan segera diberikan kepada orang yang telah menyampaikan khabar gembira tersebut. Dia lalu bersujud dan bernazar untuk berpuasa selama dua bulan. Zainab r.a. sangat bangga dengan keputusan tersebut kerana isteri-isteri Rasulullah saw. ynag lain dinikahkan oleh wali-wali mereka sedangkan Zainab r.a. langsung dinikahkan oleh ALlah swt dan diabadikan di dalam Al Quran. Hal inilah yang menyebabkan Zainab r.a. bersaing dengan Aisyah r.a. yang juga sangat dicintai oleh Rasulullah saw. Namun begitu, ketika Aisyah r.a. difitnah oleh orang munafik, Rasulullah saw telah bertanya kepada Zainab r.a. dan dia menjawab, " Setahu saya Aisyah adalah seorang yang baik dan saya paham bahawa dia adalah seorang wanita solehah". Zainab dapat berkata demikian sedangkan Aisyah r.a. adalah saingannya , padahal dapat saja dia menjatuhkan martabat Aisyah r.a. di mata suaminya tetapi dalam peristiwa ini dia menjaga nama baik Aisyah r.a. dan memujinya.
No comments:
Post a Comment