Friday, May 27, 2011

Menyemak Arah Kiblat Esok 28 Mei 2011

Tahun ini, waktu Istiwa’ akan berlaku kali pertama pada 24 Jamadil Akhir / 28 Mei 2011 pada jam 5.16 petang dan kali kedua pada 14 Sya’aban / 16 Julai 2011 pada jam 5.28 petang waktu Malaysia. Maklumat ini mengikut kiraan Unit Falak Syarie, Jabatan Mufti Negeri Kelantan. Peluang baik kepada semua untuk membuat semakan arah kiblat.


Cara menyemak arah kiblat ketika matahari berada betul-betul di atas kaabah ini ialah dengan cara melihat kepada bayang-bayang objek yang berdiri tegak 90 darjah. Tepat ketika ini juga, kalau kita pandang ke arah matahari bermakna kita sebenarnya sedang menghadap tepat ke arah kiblat. Sama-samalah kita menyemaknya pada 24 Jamadil Akhir / 28 Mei 2011 pada jam 5.16 petang esok.

Thursday, May 19, 2011

MEWARNAKAN RAMBUT

Hukum mewarnakan rambut berbeza antara lelaki dan wanita. Bagi lelaki, tidak boleh mewarnakan rambut sama sekali, kecuali dalam dua keadaan:


1) Rambut berubah menjadi putih ketika masih muda disebabkan penyakit. Ketika tersebut boleh diwarnakan dengan warna hitam.
2) Rambut sudah beruban kerana tua. Ketika ini boleh mewarnakan rambut, tetapi tidak boleh dengan warna hitam.
3) Ketika hendak berperang. Maka boleh mewarnakan rambut yang putih dengan warna hitam untuk memperdayakan musuh.

Adapun wanita, mereka boleh mewarnakan rambut mereka dengan apa sahaja warna pada bila-bila masa.
Syarat pewarna rambut tersebut mestilah ia tidak dibuat dari barang najis, dan tidak kalis air. Ini agar air membasahi rambut ketika berwuduk dan mandi hadas. Cap Halal bermakna bahan yang digunakan tidak mengandungi najis. Tetapi ia tidak bermakna bahawa ia kalis air.
Diingatkan agar wanita yang mewarnakan rambutnya, tidak mempamerkannya kepada lelaki yang bukan mahram kerana ia akan mengundang lebih banyak dosa. Juga wanita yang sudah bersuami perlu meminta izin suaminya sebelum mewarnakan rambutnya agar ia tidak menimbulkan konflik perhubungan suami isteri.
 
 
Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dzar mengatakan:


"Sebaik-baik bahan yang dipakai untuk mewarna uban ialah pohon inai dan katam." (Riwayat Tarmizi dan Ashabussunan)

Inai berwarna merah, sedang katam sebuah pohon yang tumbuh di zaman Rasulullah s.a.w. yang mengeluarkan zat berwarna hitam kemerah-merahan.

Anas bin Malik meriwayatkan, bahawa Abu Bakar mewarna rambutnya dengan inai dan katam, sedang Umar hanya dengan inai saja.

Friday, April 8, 2011

Gambaran Hari Kiamat

✐ Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.

✐ Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya “Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?” Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya “Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.” Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.

✐ Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.

✐ Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut “Ajbuz Zanbi” yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.

✐ Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.

✐ Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.

✐ Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.

✐ Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.

✐ Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.

✐ Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.

✐ Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:

ⅰ- Pemimpin yang adil.
ⅱ- Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
ⅲ- Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.
ⅳ- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
ⅴ- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata “Aku takut pada Allah”.
ⅵ- Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
ⅶ- Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.

✐ Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara “pergilah berjumpa dengan para Nabi”. Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.

✐ Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda.

✐ Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga ‘Arasy itu tiba dibumi.

✐ ‘Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.

✐ Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari ‘Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.

✐ Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & ‘Atid / Kiraman Katibin.

✐ Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.

✐ Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.

✐ Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.

✐ Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.

✐ Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.

✐ Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.

✐ Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta’ala dengan Maha Bijaksana.

✐ Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.

✐ Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat :

ⅰ- Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.
ⅱ- Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
ⅲ- Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.
(Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)

✐ Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.

✐ Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.

✐ Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.

✐ Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.
Rujukan: Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al- Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.

☞ Jika sekiranya kalian ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada sahabat² yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW: ❝ Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat. ❞ Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :

① Sedekah/amal jariahnya.
② Doa anak²nya yang soleh.
③ Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain.
sumber: Amar Sufi

Saturday, February 19, 2011

TEGURAN RASULULLAH S.A.W. KEPADA SAHABAT YANG KETAWA

Suatu ketika Rasulullah s.a.w. dalam perjalanan untuk menunaikan solah lalu Baginda s.a.w. ternampak satu kumpulan orang yang sedang ketawa berdekah-dekah sehingga menampakkan gigi. Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sekiranya kamu banyak mengingati maut pasti tidak akan berlaku keadaan yang saya lihat ini."

Oleh tiu, perbanyakkanlah mengingati maut. Tiada satu hari pun berlaku tanpa kubur berkata, "Aku ialah rumah kesunyian, rumah keseorangan, rumah debu dan rumah ulat-ulat."

Apabila seseorang mukmin dimasukkan ke dalam kubur maka kubur akan berkata, "Kedatanganmu dialu-alukan, tersangat baik kerana kamu telah datang kepadaku. Daripada kalangan manusia yang berjalan di atas muka bumi, engkaulah yang paling aku sukai. Hari ini engkau telah datang kepadaku, engkau akan melihat sebaik-baik layanan daripadaku."Selepas itu, kubur akan meluas sejauh mata memandang. Kemudian akan terbuka satu pintu yang melalui pintu itu akan masuk bayu dan wangi-wangian dari syurga secara berterusan.

Apabila orang yang berdosa dimasukkan, kubur akan berkata, "Tiada kata-kata aluan untuk kedatanganmu. Sangat jelek kedatanganmu. Daripada kalangan manusia yang berjalan di atas muka bumi engkaulah yang paling aku benci. Hari ini engkau telah diserahkan kepadaku, engkau akan melihat layan daripadaku."
Selepas itu kubur akan menghimpitnya sehingga tulang-tulang rusuk akan berceragah antara satu sama lain. Kemudian 70 ekor ular akan menghamburkan bisa ke atas bumi, maka sehelai rumput pun tidak akan tinggal. Ular itu akan terus mematuk orang tersebut hingga ke hari kiamat.

Selepas itu, Rasulullah s.a.w. bersabda, " Kubur merupakan satu kebun daripada kebun-kebun syurga atau pun satu lembah daripada lembah-lembah neraka." (Misykat)

TAKUTKAN ALLAH s.w.t. ialah perkara yang sangat-sangat perlu lagi penting. Perkara inilah yang menyebabkan Rasulullah s.a.w. sering duduk merenung. Mengingati maut akan menambahkan sifat takut kepada Allah s.w.t. Oleh sebab itulah, Rasulullah s.a.w. menyarankan supaya kita sering mengingati maut kerana amalan ini penting dan memberi manfaat.

Friday, February 18, 2011

SEMANGAT KEAGAMAAN DI KALANGAN WANITA: Kesyahidan Hazrat Sumaiyyah r.anhuma

Hazrat Sumaiyyah binti Khayyat r.anha ialah ibu kepada Hazrat 'Ammar r.anhu. Sebagaimana suaminya Hazrat Yasir r.anhu dan puteranya Hazrat 'Ammar r.anhu beliau juga telah menanggung berbagai-bagai penderitaan dan kesusahan demi kerana Islam. Namun demikian, cintanya yang sejati terhadap Islam yang telah bertunjang dalam hati tidak mengalami kekurangan walaupun sedikit.

Kadang-kadang beliau dibaringkan di atas anak-anak batu di padang pasir di bawah kepanasan matahari di waktu tengah hari. Kadang-kadang beliau dipakaikan baju besi dan dibiarkan berdiri di bawah pancaran matahari yang terik agar penderitaannya itu akan bertambah perit apabila baju besi itu kepanasan akibat pancaran cahaya matahari yang terik.

Sekiranya Rasulullah s.a.w. lalu disisi meraka, Baginda s.a.w. akan berpesan kepada mereka supaya bersabar dan Baginda s.a.w. juga menyampaikan janji syurga kepada mereka.

Pada suatu ketika, semasa Hazrat Sumaiyyah r.anha sedang berdiri, Abu Jahal telah lalu di sisinya. Abu Jahal telah memaki hamunnya dan kemudian dalam keadaan marah Abu Jahal telah melembing kemaluannya. Disebabkan kecederaan itulah beliau telah meninggal dunia. Beliaulah orang yang pertama syahid dalam Islam (Asadul Ghabah)

Oleh itu, kita sepatutnya kagum dengan sifat sabar, tabah dan cekal yang ada pada seorang wanita. Rahsianya ialah apabila sesuatu perkara meresap ke dalam hati maka setiap sesuatu yang berkaitan dengan perkara itu akan menjadi mudah. Sekarang inpun masih boleh didengari tentang berpuluh-puluh kisah cinta yang menunjukkan kesanggupan mereka untuk mati demi cintanya. Walau bagaimanapun, sekiranya pengorbanan nyawa itu dilakukan di jalan Allah s.w.t. dan untuk agama Allah s.w.t. maka pengorbanan itu akan menjadi sebab kebahagiaan dan kemuliaan dalam kehidupan yang akan datang yang bermula selepas kematian. Sekiranya pengorbanan itu dilakukan untuk tujuan keduniaan maka dunia sememangnya telah terkorban malah akhirat juga turut binasa.

Wallahualam

SEMANGAT KEAGAMAAN DI KALANGAN WANITA: Tasbih Fatimah r.anha

Hazrat 'Ali r.anhu berkata kepada salah seorang muridnya, "Mahukah saya ceritakan kisah saya dengan Fatimah r.anha iaitu puteri Rasulullah s.a.w. yang paling disayangi?"

Murid itu menjawab, "Sudah pasti."

Beliau pun berkata, "Fatimah r.anha biasanya menggunakan tangannya untuk mengisar bijian yang menyebabkan tangannya menjadi kasar. Beliau juga mengisi air ke dalam bekas yang dibuat daripada kulit dan membawa bekas itu ke rumah sehingga meniggalkan kesan di dadanya akibat daripada tali bekas tersebut. Beliau sendiri menguruskan rumahnya, menyapu dan sebagainya sehingga menyebabkan pakaiannya selalu kotor. Pada suatu ketika beberapa orang hamba perempuan telah dibawa kepada Rasulullah s.a.w. Saya pun menyuruh Fatimah r.anha, "Kamu pergilah kepada Rasulullah s.a.w.dan minta seorang pembantu agar kamu mendapat bantuan daripadanya."

Beliau kemudian pergi berjumpa Rasulullah s.a.w.tetapi beliau mendapati ramai orang berada di situ. Beliau ialah seorang yang sangat pemalu. Lantaran sifat pemalunya, beliau tidak mahu meminta kepada bapanya di hadapan orang ramai walaupun itu nerupakan bapanya sendiri, maka beliau pun pulang.

Pada keesokan harinya, Rasulullah s.a.w. datang sendiri dan bersabda, "Fatimah, untuk tujuan apakah engkau pergi ke sana?"

Oleh kerana perasaan malu, beliau mendiamkan diri sahaja. Saya (Hazrat Ali r.anhu) pun berkata, "Ya Rasulullah, kesan daripada batu pengisar, tangannya menjadi kasar. Kesan daripada tali bekas air, dadanya telah berparut. Sementara urusan rumahtangga yang lain menyebabkan pakaiannya selalu dalam keadaan kotor. Kelmarin saya memberitahunya mengenai hamba-hamba yang telah sampai kepada tuan , supaya dia pun dapat meminta seorang hamba. Oleh kerana itulah dia telah pergi kepada tuan."

Dalam sesetengah riwayat yang lain Hazrat Fatimah r.anha memberitahu, " Ya Rasulullah s.a.w., saya dan 'Ali hanya mempunyai satu alas tidur, itu pun daripada kulit domba. Pada malam hari kami bentangkan alas itu dan kami tidur di atasnya dan pada waktu siang kami tabur rumput dan bijian di atasnya untuk memberi makan unta."

Rasulullah s.a.w. bersabda, " Wahai anakku, bersabarlah. Nabi Musa a.s. dan isterinya memiliki hanya satu alas tidur sahaja sehingga sepuluh tahun. Itupun hanya jubah Nabi Musa a.s. Itulah yang dibentang dan mereka tidur di atasnya. Takutlah kepada ALLAH s.w.t. hasilkanlah sifat takwa dan tunaikanlah tugas dan kewajipanmu terhadap Allah s.w.t. dan sempurnakanlah tugas-tugas rumahtanggamu. Apabila kamu hendak tidur maka bacalah SUBHANALLAH tiga puluh kali, ALHAMDULILLAH tiga puluh kali dan ALLAHUAKBAR tiga puluh empat kali. Amalan ini lebih baik bagi kamu daripada hamba."

Hazrat Fatimah r.anha pun berkata, "Saya reda dengan Allah s.w.t. dan rasulNya." (Abu Daud)

Monday, December 27, 2010

Nak jadik isteri solehah.... tapi takde masa nak buat ibadat sunat... camana ni????

Kembali menulis setelah bercuti beberapa hari... mencari bahan untuk dikongsi bersama dengan para wanita dan isteri yang membaca blog ini... sama-samalah kita berusaha menjadi wanita solehah... aminnn

Abu Umamah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda " Kebaikan yang terbaik selepas bertakwa kepada Allah bagi seseorang itu ialah mempunyai isteri yang solehah. Jika dia menyuruhnya, dia patuh. Jikalau dia (suami) melihat kepadanya menjadikan suaminya gembira. Apabila dia mengambil janji daripadanya (si isteri), dia menjunjungnya dan apabila dia jauh daripadanya, dia memelihara dirinya (maruahnya) dan harta-harta suaminya."

Di dalam riwayat lain, Rasulullah s.a.w bersabda: "Seluruh dunia ini adalah manfaat yang sementara dan manfaat sementara yang terbaik ialah isteri yang solehah."

Khazanah yang terbaik ialah isteri yang solehah. Kesolehan dan nilai seorang wanita Islam bukanlah diukur dengan banyaknya dia beribadat sunat. Sebagai tambahan kepada amalan biasanya dan ibadatnya, kedudukan wanita dan kesolehannya bertambah melalui ketaatan kepada suaminya. Wanita yang menimbulkan rasa tidak senang hati suaminya tidaklah dikatakan seorang yang solehah, walaupun dia sibuk dengan membanyakkan solat sunat dan zikir.

Jadi... sedar atau tidak... untuk mencapai impian kita menjadi wanita solehah... bukanlah bergantung kepada ibadat sunat tetapi peranan kita sebagai isteri dan ibu adalah penting. Seorang isteri yang menunaikan ibadat fardhunya dan berusaha untuk membahagiakan suaminya melalui perbuatan, khidmat dan sikapnya adalah maratus solehah yang disanjungi oleh Islam. Sebahagian besar masa kita melakukan tugas-tugas di rumah... janganlah kita mengeluh. Kita mungkin tiada banyak masa untuk melakukan ibadat-ibadat sunat. Janganlah kita membayangkan yang kita dinafikan daripada pahala yang besar yang terhasil sekiranya kita melakukan ibadat sunat. Sebenarnya tugas yang kita lakukan di dalam rumahtangga dan khimat kita yang setia dan cinta sejati kita pada suami menjaminkan pahala yang besar , pahala yang sama yang diperolehi oleh orang-orang lelaki di dalam jihad.

Semua ke lapan-lapan pintu syurga terbuka untuk wanita yang solehah, taat dan kehidupannya yang pendek di dalam dunia ini untuk tunduk patuh kepada kehendak dan ragam suaminya di dalam perkara-perkara yang dibenarkan oleh syariah akan membebaskannya di akhirat. Dia tidak akan diarahkan oleh malaikat untuk masuk syurga melalui pintu mana-mana pintu. Dengan penuh penghormatan dia akan mencapai kebebasannya yang terakhir dan mulia apabila setiap puintu syurga dibukakan untuknya menggambarkan tamatnya batasan duniawi yang telah diletakkan ke atasnya oleh syariah...

Allahu Akbar... betapa besarnya pahala yang Kau limpahkan kepada hamba-Mu.... marilah kita mengambil peluang yang diberikan kepada kita kaum wanita untuk mendapat keredhaan daripada Allah... dan berusahalah kita menjadi isteri, ibu dan wanita solehah...

Wednesday, December 15, 2010

Ibu... nak susu.... nak susu....

Anak nak susu... apa yang kita buat.... cepat-cepat bancuh susu lembu untuk anak kita... senang... mudah... tak payah nak selak-selak baju menyusukan anak.... betul ke macam tu?.... Anak tu anak kita... umur pun kecik lagi... tapi pi bagi susu lembu awatnya?... 9 bulan kita usung perut besar tu ke sana ke mari... last-last lembu yang dapat bagi susu kat anak kita... ishh... ruginya.... dah tu susu kat badan kita nak bagi sape minum.... hehehe... pikirlah sendiri jawapannya... malu pulak nak tulis kat sini... Ada jugak yang pikir tak nak bagi susu badan takut bentuk badan tak cantik nanti... takut bentuk payudara tak lawa dah... takut itulah... takut inilah... tak sempat nak bagi susu sebab kerjalah.... macam-macam lagi alasan yang diberi... Tapi kalau kita tahu betapa besarnya pahala dan kelebihan susu dalam badan kita ni, maka kita akan sedar betapa ruginya kita tidak menyusukan anak-anak kita sehingga umur mereka sekurang-kurangnya 2 tahun.

Kebanyakan ibu pada hari ini enggan menyusui bayi-bayi mereka kerana mereka mementingkan diri sendiri sehingga mendorong mereka menafikan hak anak-anak mereka menyusu susu ibu. Keengganan menyusu anak-anak ini membuatkan ibu tersebut melakukan ketidakadilan kepada anak-anaknya.

Hadis menekankan supaya menyusukan anak dan menyatakan betapa mulianya ibu yang menunaikan tugas yang bersifat tabii ini. Rasulullah s.a.w. telah bersabda, " Bagi setiap teguk susu yang dihisap oleh si anak, si ibu mendapat satu amalan baik. Jikalau si ibu terpaksa bersengkang mata pada waktu malam kerana anaknya, dia mendapat ganjaran umpama membebaskan 70 orang hamba di jalan Allah."

Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda "Apabila seorang ibu menyusukan anaknya (dengan susu badan) , maka setiap teguk susu yang dihisap oleh anaknya dia mendapat ganjaran pahala bersamaan ganjaran menghidupkan orang mati. Apabila dia menceraikan susuan anaknya, seorang malaikat yang khas memberi tahniah kepadanya kerana berjaya menunaikan tanggungjawab yang mulia ini. Dan malaikat itu berkata "Segala dosa-dosamu yang lepas diampunkan"."


Sekarang, apabila telah diberitahu betapa Islam menekankan akan penyusuan susu ibu dan ganjaran yang besar bagi tanggungjawab ini, harap-harap tiada lagi wanita muslimah yang membaca ini mengambil remeh dengan tugasnya kepada Allah Taala. Kita sebagai wanita muslimah sebenarnya tak perlu dorongan daripada pakar-pakar bukan Islam yang menulis mengenai nilai dan faedah susu ibu ini tetapi kita sebenarnya telah dan sepatutnya mengikut dorongan daripada anjuran yang diberitahu oleh Rasulullah s.a.w. berlandaskan ajaran Islam.

Jadi... sesiapa yang ada baby kecil di rumah.. dan masih ada susu badan... balik ni cepat-cepat bagi susu badan dan berazamlah untuk menyusukan anak anda sehingga umur mereka 2 tahun.... kalau bekerja.. pamlah susu tu dan simpan untuk diberikan semasa anda pergi kerja... masa yang paling baik untuk pam susu ialah semasa anda menyusukan bayi anda... bagi sebelah pada bayi dan sebelah lagi anda pam... semoga berjaya membuat azam baru sempena Tahun Baru Islam.... amin...

Tuesday, December 14, 2010

Alahai... balik rumah isteri pakai batik senget... :(

Hari ini nak kongsi info sikit berkenaan isteri yang berhias. Bila sebut berhias ni secara automatik mesti kita fikir nak pergi mana-mana... nak keluar dari rumah berjalan-jalan.... belek muka sepuluh kali depan cermin... nampak tak parut jerawat... foundation cover tak bekas-bekas jerawat... lipstick comot tak... tudung tajam tak... awning tudung patah ke tak... dan macam-macam lagi kan... ini hakikat yang kita tak boleh lari... tapi berapa ramai antara kita yang berhias dan pastikan semua perkara yang saya sebut kat atas tu rapi atau tidak bila masa suami nak balik ke rumah dari kerja dah tiba.... ni suami nak tengok kita ni... bukan orang lain... Mesti ramai yang fikir... "alahai.... dah jadik suami aku... aku comot ke tak dia tetap dah jadi milik aku". Amboi.. dulu masa bercinta nak jumpa... tahu pulak nak berhias no... la ni selekh aje... bedak sejuk penuh comot kat muka... kain batik pun ikat senget... ok... now to the point....

Di antara maksiat orang-orang kafir yang diperolehi oleh wanita-wanita Islam yang "bebas" pada masa sekarang ni ialah tabiat menghias dan mencantikkan diri mereka untuk tontonan orang lain. Sedangkan ISLAM menyuruh isteri-isteri yang muslimah berhias semata-mata untuk suaminya namun ramai antara kita yang memilih sebaliknya. Dia akan berhias untuk orang lain apabila dia keluar daripada rumah. Tetapi untuk suaminya, sendiri fahamlah yer... :).

Menjadi kewajipan kita sebagai isteri untuk mencantikkan dirinya untuk suaminya. Sebaliknya adalah haram baginya menghiasi dirinya untuk orang lain. Seorang wanita yang menghiasi dirinya untuk orang lain dicela dan dikutuk dengan keras oleh Islam. Rasulullah s.a.w. telah membandingkan isteri yang demikian sebagai "Hari yang gelap pada hari kiamat".

Apa lagi rakan-rakan muslimah sekelian... balik kerja nanti... singgahlah pasaraya... beli baju seksi-seksi sikit untuk kita bergaya di dalam rumah... bergaya depan suami.... suami tengok halal... berbunga-bunga hati suami tengok isteri bergaya untuk tatapan dia sahaja.. janganlah asyik dengan t shirt yang lusuh... kain batik yg dah tak nampak warna.... dan para suami plak kalau ada terbaca ni... janganlah plak tengok isteri bergaya dalam rumah anda kata dia buang tebiat plak... bagilah sokongan... apa salahnya anda belikan pakain yang menarik dan yang anda suka nak tengok isteri anda pakai untuk tatapan anda sahaja sebagai hadiah...

Sama-samalah kita mencuba ye... semoga ikatan perkahwinan kita semua bertambah manis....

Monday, December 13, 2010

Apabila Si Suami Memanggil.....

Menjadi kewajipan si isteri menyahut seruan suaminya. Walaupun dia sedang sibuk memasak atau melakukan apa-apa kerja lain, panggilan suaminya adalah diutamakan. Janganlah dia melambat-lambatkan seruan suaminya. Dia kena tangguhkan apa-apa sahaja yang dibuatnya.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda " Apabila si suami memanggil si isteri untuk tidur bersama dan dia enggan, lalu si suami tidur dalam keadaan yang dia tidak redha (kepadanya) , para malaikat akan mengutuknya sampai ke pagi." (Bukhari)

Maka penting sekali bagi seorang isteri muslimah memahami keperluan dan kewajipannya untuk meninggalkan segala rupa kegiatan dengan segera setelah suaminya memanggil. Kutukan malaikat samalah dengan kemurkaan Allah.

Jadi... wahai rakan-rakan muslimahku sekelian... kalau sebelum ni kita seperti lalai dan ambil mudah dengan panggilan suami... lepas ni kenalah kita lebih PEKA... bukan PEKAK....  :)